Thursday, July 3, 2008

Harapanku..

Bunyi nada dering monotone “Mahar Cinta” telefon bimbitku mengejutkan aku yang sedang asyik mengulit buku Bahasa Melayu Lanjutan untuk peperiksaan esok hari. Pantas aku mengambilnya, dan kulihat di skrin tertera nama G.10_Nani. Terus sahaja aku tersenyum. Macam tahu-tahu je budak ni aku teringat padanya.

“Helo, assalamu’alaikum Nani,” sapaku menjawab panggilan. Nada ceria.

“ Wa’alaikumussalam, Kak Ti,” balasnya. Ada riak gembira kedengaran.

“ Nani sihat? Buat ape tu?”

“Sihat. Takde buat ape,” jawabnya.

Kemudian belum sempat aku bertanya,

“ Ni Kak Ti, haritu kan, Nani masuk hospital,” Kata-katanya itu sekali lagi mengejutkan aku.

“ Yeke, kenapa?”

“ Nani appendix, kena operate lagi sekali,”

“Oo, akak tak tahu pulak Nani ade appendix. Nape Nani tak bagitahu akk?” Memang sepanjang program sebulan yang lalu aku tak pernah tahu. Masa 3 hari tak memungkinkan aku mengenal adik-adikku dengan lebih dalam.

“ Ha’ah, dulu pernah kena operate, haritu kena operate lagi,”

“ Sekarang macam mane, dah sihat?” tanyaku. Agak risau.

“ Dah okey, tapi cutila tak sekolah. Doktor bagi cuti,” katanya.

“ Habis, Nani makan macam mane? Makan ape je?”

“ Makan bubur jela,”

“ Ni dah makan belum?”

“ Belum,”

“ La, nape tak makan lagi?”

“ Malasla Kak Ti. Nantila Nani makan. Hihihi,” katanya sambil ketawa kecil. Suara kebudak-budakan. Memang sifatnya begitu. Manja.

“ Tengok tu, kecik-kecik dah pandai diet. Nanti sakit lagi,” balasku pula, sengaja nak menyakat.

Dia hanya ketawa. Suka benar bunyinya.

“ Gelak pulak die. Hehe. Nani kat umah ke tu?”

“ Takla, kat umah kawan. Buat keje,”

“ Oo, adik-adik grup kite haritu ade ke? Ade jumpe diorang tak?”

“ Takla, diorang kat umah la. Ade jugak jumpa Faiz,” jawabnya.

Seterusnya, aku bertanya tentang pelajarannya. Nampaknya masih belum ada peningkatan. Katanya, dalam Peperiksaan Canang I yang lepas, dia hanya mendapat B untuk Matematik. Bahasa Melayu Pemahaman dapat A. Sains pula hanya dapat C. Alhamdulillah, itu dah kira bagus. Aku terus menasihatinya agar selalu membuat latihan. UPSR tak susah mane, senang sahaja nak skor. Dan aku menyuruhnya agar pergi mencari mana-mana buku Bahasa Inggeris di perpustakaan, dan menyalin perkataan-perkataan yang sukar kemudian mencari maknanya di dalam kamus. Itu pesanku pada mereka sewaktu dalam LDK bulan lepas. Sungguh aku rindu pada adik-adikku yang seramai 11 orang itu. Ramai kan? Fasilitatornya aku seorang.

Aku dipertemukan dengan adikku Nani ini, dan 10 orang lagi di Kem Kecemerlangan UPSR dan Sahsiah Diri pada 16-18 Mei yang lalu, di Masjid Jamek Jempol, Negeri Sembilan. Program ini merupakan anjuran Persatuan Pendidik Insan Negeri Sembilan (PPINS) – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sembilan dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Jempol, yang merupakan program pertama di Daerah Jempol ini. Kem selama 3 hari ini disertai oleh pelajar-pelajar Tahun 6 dari SK Serting Ilir, SK Bandar Baru Serting dan SK Serting (F). Para peserta seramai 120 orang, dibahagikan kepada 10 kumpulan. Aku diberikan kumpulan ke-10.

Sepanjang program, aku banyak bercerita pada adik-adikku. Peringkat umur sebegitu memang perlu kita gunakan pendekatan bercerita dan juga games. Cubalah cerita tentang isu-isu yang berat, nescaya akan berkedut seribulah dahi mereka. Ataupun yang lebih ‘menyayat hati’, mereka akan terus terlena. Lalu aku pun menyuruh mereka mencari maklumat mengenai Najmil Faiz, anak watan Malaysia yang membanggakan negara atas kejayaannya membentangkan kertas kerjanya mengenai Nano Technology di Parlimen British. Istimewanya, beliau bukanlah seorang pelajar yang pintar, yang ketika zaman persekolahannya sering mendapat keputusan yang cemerlang, menjadi kesayangan guru-gurunya. Sebaliknya, kegagalan dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang menjadi batu loncatan sehingga beliau menjadi orang yang hebat kini. Diharapkan adik-adik-adikku itu akan terus berusaha, tanpa mengira kegagalan yang telah dan akan mereka lalui. “Kegagalan adalah guru paling baik” untuk mengajar erti kejayaan.

Program ini mempunyai tiga matlamat utama, iaitu memberi kesedaran kepada para peserta bahawa UPSR telah hampir, memberi pendedahan kepada mereka mengenai strategi belajar yang berkesan, juga menggalakkan mereka untuk berakhlak mulia sepanjang hidup, bermula dari usia mereka sekarang. Itulah harapan guru-guru yang menghantar mereka ke program ini. Di sinilah sebenarnya peranan para fasilitator yang paling penting. Mereka berperanan menyentuh hati para peserta dengan pendekatan tersendiri, untuk menyampaikan pesanan-pesanan berharga, buat bekalan hidup. Jika difikirkan, masa selama 3 hari bukanlah satu jangka masa yang lama untuk kami merubah akhlak mereka, namun masa yang terlalu singkat ini perlu kami gunakan untuk ‘memancing’ perhatian dan ‘menjerat’ minat mereka akan peri pentingnya kejayaan dan akhlak yang mulia dalam hidup ini. Adik-adik inilah nanti yang akan mencorak masa depan negara, yang bakal membina keluarga yang diharapkan dapat melahirkan generasi yang konkrit imannya, tertumpu deria rasanya pada hal ehwal umat Islam.

Apabila menganjurkan program untuk para pelajar seusia mereka ini, kita memang tidak akan lepas dari berhadapan dengan pelbagai kerenah yang kadangkala memeningkan. Di sinilah kesabaran kita teruji. Pertimbangan perasaan dan akal yang waras, amat perlu dalam mendepani mereka. Biasalah, zaman kanak-kanak begini, memang agak sukar untuk mengawal mereka. Perlu diingat bahawa kita pernah melalui usia mereka, jadi letakkanlah diri kita dalam situasi mereka kemudian bertindaklah secara bijak. Pendekatan memarahi, mendenda dan meleteri sebenarnya bukanlah pendekatan yang terbaik walaupun inilah yang kami lakukan pada mereka. Mungkin ada ketikanya perlu, namun harus juga diingat bahawa adik-adik ini perlu dibelai jiwa mereka, agar dapat menerima segala teguran dengan hati terbuka. Apalah gunanya berhabisan beribu-ribu ringgit, kemudian sepanjang program, berperang dengan perasaan yang bercampur baur seterusnya pulang dengan berbekalkan itu juga. Amat rugi rasanya. Biarlah kita datang dengan semangat yang tinggi, kemudian pulang juga dengan semangat yang sama, dan diiringi pula dengan seribu satu kenangan manis.

Sepanjang dua hari program, telah banyak aktiviti yang dilakukan dengan modul-modul yang pelbagai. Malam pertama sahaja sudah ‘mengerikan’. Bukan apa, kami membawa mereka mengelilingi kawasan masjid dengan mata yang tertutup. Sebelum itu kami tayangkan kepada mereka slide show yang menggambarkan keadaan mayat yang diseksa di dalam kubur. Lalu bergemalah suara anak-anak yang bertasbih, bertahmid dan bertakbir di dalam kegelapan sepanjang ‘pengembaraan’ yang panjang. Aku tak dapat menahan tawa sepanjang perjalanan, kerana kulihat adik-adikku ini begitu takut. “Kak Ti, kite tak nak pergi,” kata adikku Ika sambil menangis. Kasihan pula, namun aku perlu memujuknya untuk ikut sama, untuk mendidik jiwanya agar lebih berani. Pada waktu inilah baru aku tahu ada adik-adik yang tidak tahu berzikir. Ada hikmahnya juga night walk mengelilingi masjid ini, sekurang-kurangnya mereka tahu untuk berzikir mengingati ALLAH. Itu baru kawasan masjid adik-adik, belum masuk hutan lagi. Hmm.

Akhirnya tibalah hari ketiga, hari terakhir kami para fasilitator bersama adik-adik. Para jawatankuasa program sudah tidak tahan menahan kepenatan. Maklum sahaja, apabila berprogram di masjid, kami harus sentiasa menjaga kebersihan kerana masjid itu dikunjungi orang setiap masa. Ada juga aduan kami terima mengenai ketidaksesuaian mengadakan program di situ, namun bagi kami inilah peranan masjid yang telah lama ‘dinafikan’. Tidak seperti pada zaman kegemilangan Islam dahulu yang berpusatkan masjid sebagai tempat menjalankan aktiviti. Kami agak kecewa, namun berasa gembira kerana akhirnya kami berjaya menjalankan program, sekaligus berusaha untuk mengubah perspektif masyarakat. Tasyabbahu, in lam takun mithlahu.

Untuk LDK yang terakhir, ketua fasilitator mengarahkan kami supaya meminta adik-adik menghasilkan coretan kenang-kenangan di atas kertas sebak, sebagai tanda ingatan. Kemudian, kami diminta untuk mengoyakkan kertas sebak itu. Oh, tidak! Tak sanggup rasanya aku melakukan itu di depan adik-adikku. Terbayang ‘Kasih Tercipta’ sepanjang 3 hari akan ‘Hapus’ begitu sahaja. Namun kami terpaksa melakukannya, untuk meletakkan adik-adik dalam ‘mood’ kecewa, sama seperti kecewanya ibu bapa mereka apabila hati mereka dilukai. Agenda terakhir pada hari itu adalah menemukan para peserta dengan ibu bapa masing-masing selepas Seminar Keibubapaan khusus untuk para ibu bapa.

Sebelum menemukan para peserta dengan ibu bapa masing-masing, LDK terakhir dijalankan. LDK terakhir ini lebih kepada muhasabah sepanjang 3 hari program. Apa yang penting, segala ilmu yang didapati haruslah diaplikasikan selepas ini. Aku menggunakan peluang ini untuk menyampaikan amanat terakhir, dengan harapan akan ada perubahan pada mereka walaupun sedikit. Aku tak dapat menahan perasaan saat menceritakan pada adik-adikku tentang pengorbanan ibu dan ayah. Seolah-olah aku menceritakan segala pengorbanan ummi dan ayahku. Adik-adik yang ada di hadapanku tika itu kuanggap seperti adik kandung sendiri, kerana aku juga punya adik sebaya mereka. Sama juga seperti aku berpesan kepada adikku yang di rumah.

Selepas dipertemukan dengan ibu bapa masing-masing, penceramah seminar, En. Baharin b. Saba meminta salah seorang peserta ke depan, membacakan wasiat yang telah ditulis malam tadi. Kemudian, dijemput daripada kalangan ibu bapa pula untuk membaca warkah untuk anak-anak tersayang. Perasmian penutup program disempurnakan oleh Dato’ Lilah Yasin, ADUN Daerah Jempol. Program berakhir pada jam 12.30 tengahari.

Kepada adik-adikku Faiz, Amir, Aizat, Fizan, Ika, Nani, Aisyah, Syuhada, Ana, Hanis dan Afiqah, Kak Ti doakan kalian semua moga terus bersemangat dalam menuntut ilmu, bukan sahaja untuk cemerlang di dalam UPSR, tetapi berterusan hingga akhir hayat. Moga ALLAH membimbing adik-adik semua untuk menjadi insan bertaqwa dan menjadi kebanggaan Islam. Kak Ti hanya mampu mengetuk pintu hati adik-adik, selebihnya terpulang pada adik-adik untuk mengubah hidup masing-masing. Insya-Allah. Kak Ti mohon maaf atas segala kekurangan dan jika ada kata-kata atau perbuatan yang menyinggung perasaan. Ketahuilah itu semua untuk kebaikan adik-adik semua. Moga ketemu lagi.

No comments: